PENUBUHAN PEJABAT DAN PENEMPATAN

ANGGOTA SUKARELA TETAP PEJABAT (ASTP) DI IPT

BAGI KOR SISWA SISWI PERTAHANAN AWAM (SISPA)

Bagi melancarkan lagi pengurusan pentadbiran dan aktiviti Pertahanan Awam di peringkat IPTA/S, pihak jabatan telah mengambil inisiatif bagi penubuhan Unit Pertahanan Awam Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SiSPA) dengan pembukaan ruang pejabat dan kemudahan pentadbiran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Segala perbelanjaan dan elaun bertugas dibiayai oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), manakala urusan lain dibuat secara bersama antara IPTA/S dan jabatan bagi meningkat program ini secara ’win-win situation’

Oleh itu JPAM Negeri Perlis dengan kerjasama pihak IPTA/S perlu membincang dan menyediakan maklumat untuk mewujudkan ruang kemudahan dan pejabat pentadbiran seperti berikut:

1. Ruang pejabat yang merangkumi kemudahan ICT, pengurusan fail, komunikasi dan seumpamanya.

2. Kemudahan latihan Pertahanan Awam dan bilik kuliah/kelas

3. Kenderaan dan logistik jika memenuhi keperluan

Pegawai/anggota yang bertugas sebagai ASTP harus memainkan peranan penting dalam pengurusan pentadbiran dan angkatan dalam SiSPA, seperti:

1. Penyediaan laporan terkini dan kemaskini maklumat anggota SiSPA

2. Penyediaan laporan bagi setiap latihan dan aktiviti

3. Merancang dan merangka Latihan Bersama/Asas/Luar/Eksesais dan lain-lain

4. Mensiap seragakan anggota dalam pengurusan bencana dan kecemasan

5. Menubuhkan kelab seperti Kelab Pertahanan Awam di peringkat IPTA/S

6. Mendokumentasikan setiap aktiviti Pertahanan Awam kepada Bahagian Perhubungan Awam Dan Dokumentasi (PRO) samada diperingkat negeri atau ibu pejabat

7. Menyediakan penyata elaun latihan dan operasi kepada bahagian kewangan negeri

8. Menyelaraskan jadual dan takwim latihan tahunan kepada Bahagian Pengurusan Angkatan dan Latihan di peringkat negeri

9. Mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan samada melalui media elektronik atau media cetak

10. Menjalinkan hubungan IPTA/S dengan JPAM dalam segala aktiviti

Perlantikan pegawai/anggota bertugas terdiri daripada bekas pelajar/graduan yang boleh berkerja pada waktu pejabat di antara 8.00 pagi-5.00 petang. Walaubagaimanapun pihak jabatan boleh melantik dikalangan anggota dari angkatan Pertahanan Awam yang sedia ada diperingkat negeri atau daerah untuk bertugas bagi memenuhi keperluan di unit SiSPA. Bagi anggota yang terdiri dari Unit SiSPA di IPTA/S yang berminat, mereka juga boleh bertugas sebagai ASTP di pejabat atau ditempat latihan sekiranya tidak menganggu perjalanan akademik di mana anggota itu menuntut.

Setiap penubuhan Unit SiSPA, JPAM hanya melantik sehingga empat orang ASTP sahaja yang bertugas untuk menyelia dan menguruskan hal ehwal anggota SiSPA. Bayaran elaun bagi ASTP dan anggota SiSPA yang bertugas di pejabat atau semasa latihan dan operasi juga tidak ada perbezaannya dengan anggota yang lain kerana setiap elaun dibayar dengan kadar RM 4.00 sejam dan RM 5.80 sejam bagi pegawai. Selain itu bagi anggota yang aktif, mereka juga akan dibayar bonus tahunan selain dapat menceburi dalam pelbagai bidang dan kemahiran menyelamat.

SISWA-SISWI PERTAHANAN AWAM

Penubuhan kursus badan beruniform di Universiti sebagai kursus kokurikulum adalah bertujuan untuk meperkasakan soft skill di kalangan pelajar. Kursus pasukan beruniform ini dapat memberi nilai tambahan kepada pelajar dari segi soft skill. Di samping penekanan kepada pencapaian akedemik yang cemerlang. Secara spesifiknya kemahiran yang dapat diterapkan melalui kokurikulum SISPA ini ialah semangat kerja berpasukan, memupuk nilai jati diri dan cintakan kepada tanah air.

OBJEKTIF

  • Untuk memberi kesedaran dan pendekatan yang lebih efisyen terhadap golongan profesional betapa pentingnya pengurusan bencana dan peranan Pertahanan Awam dan menarik minat mereka untuk lebih cenderung berkhidmat sebagai anggota sukarela.

  • Menyebar dan mendidik mahasiswa mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam sepanjang masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana serta membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber, bertanggungjawab serta mempunyai kepakaran khusus dalam Pertahanan Awam.

  • Melahirkan mahasiswa yang bergiat aktif dengan Pertahanan Awam sebagai Pegawai Pertahanan Awam yang berkaliber, berpendidikan, bertanggungjawab serta berkemahiran dalam melaksanakan tugas serta dapat menyumbangkan idea dan kepakaran akademik untuk memantapkan lagi pengurusan Pertahanan Awam.

KEANGGOTAAN

Pendaftaran untuk menyertai Kor SISPA adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut :

i. Warganegara Malaysia.

ii. Pelajar-pelajar IPTA/ IPTS yang berusia 18 tahun ke atas.

iii. Sihat tubuh badan ( pengesahan pegawai perubatan jika diperlukan ).

iv. Tidak menyertai mana-mana pasukan pakaian seragam yang lain.

v. Pendaftaran adalah disokong oleh pihak IPTA/ IPTS.

vi. Berdaftar sebagai anggota pasukan Pertahanan Awam Malaysia.

vii. Mengajukan permohonan dengan mengisi borang permohonan.

Bilangan Kadet SISPA 2008

BAYARAN ELAUN

  • Anggota Kor SISPA yang telah sah keanggotaannya layak menerima elaun jika mengikuti latihan yang di anjurkan oleh Jabatan Pertahanan Awam. Latihan tersebut tidak termasuk latihan kokurikulum di IPTA/ IPTS.
  • Pegawai Penyelaras adalah layak menerima elaun mengikut pangkat yang disandang sepertimana kadar yang ditetap dan diterima pakai oleh mana-mana pekeliling Kerajaan.
  • Elaun jurulatih dan pembantu jurulatih yang mengajar aktiviti kokurikulum Kor SISPA akan dibayar oleh pihak universiti mengikut kadar IPTA/ IPTS masing-masing.

SUKATAN LATIHAN

  1. Pihak Pengurusan IPTA/IPTS adalah digalakkan untuk mengadakan kursus kokurikulum Kor SISPA selama 4 semester. Bagi memenuhi keperluan silibus serta memahirkan mereka dari segi kemahiran, latihan luar/ medan akan diadakan setiap semester.
  2. Anggota Kor SISPA akan mengikuti kokurikulum Pertahanan Awam selama 4 semester. Sijil asas akan diberikan oleh Jabatan kepada mahasiswa yang menamatkan semester 2 dengan jayanya.
  3. Pada semester ketiga, Kor SISPA didedahkan dengan pelajaran Pertahanan Awam yang merangkumi semua silibus Pertahanan Awam dan akan mendapat Sijil Latihan Kemahiran, Penyelamat, Medik dan Melawan Kebakaran.
  4. Pada semester keempat iaitu semester terakhir dan SISPA telah tamat dengan jayanya, mereka akan mendapat Sijil Tamat SISPA.
  5. Pelajar yang telah tamat 4 semester dengan jayanya akan meneruskan untuk menjadi anggota Pertahanan Awam di Unit SISPA. Mereka perlu bergiat aktif dalam mengikuti aktiviti-aktiviti SISPA dan menjalani Kursus Bakal Pegawai dengan jayanya dan akan dicadangkan untuk memegang pangkat Leftenan Muda.
  6. Penilaian akan diadakan pada setiap akhir semester bagi melayakkan pelajar mendapat 1 jam kredit yang diiktiraf oleh IPTA/ IPTS.

Penilaian berterusan - 70%

Peperiksaan akhir - 30%